Monday, September 6, 2010

Saya sayang abah saya...



Nama abah saya Md Zain bin Abdullah. Abah saya kata dia keturunan Hang Li Po sebab itu mata kami semua kiut-miut saja. Abah saya pandai. Dia lulus MCE dengan Gred 2. Abah kata saya pandai sebab ikut genetik dia!


Masa saya kecil, abah saya jarang marah saya. Jadi, saya memang manja dengan abah saya. Tambahan pula, abah saya kata muka saya seakan-akan muka arwah ibu dia (nenek saya). Nenek saya meninggal 1.4.1975 manakala saya dilahirkan pada 1.4.1983.. Mungkin saya ini ibarat jelmaan semula nenek saya agaknya.


Abah saya sangat suka kalau saya berjaya dalam peperiksaan. Sudah tentu, segala kemahuan saya akan dituruti jika saya cemerlang dalam peperiksaan. Begitu juga semasa saya berada di sekolah menengah dan di Universiti. Abah sentiasa memberi saya semangat supaya cemerlang dalam peperiksaan sebab dia akan berikan hadiah sebagai ganjaran.. =)


Abah saya kerja gomen saja. Pegawai kastam. Pendapatan sederhana. Anak 3 orang. Isteri seorang saja. Masa kecil-kecil kami tinggal di flet kastam tingkat 3. Tapi seingat saya, kami sekeluarga cukup makan dan pakai. Ada duit lebih, abah akan bawa makan KFC ataupun Pizza Hut walaupun hanya sekali setahun.


Abah tahu saya sangat suka makan ketam rebus dan siput sedut masak lemak. Setiap kali saya pulang ke rumah semasa cuti semester, abah pasti akan membeli ketam dan siput sedut untuk mama masak.


Sewaktu berada di tingkatan dua, saya keluar dari asrama dan terpaksa berulang alik dari port klang ke kampong jawa untuk ke sekolah. Selalunya akan menaiki komuter tapi kadang kala saya terlewat bangun tidur. Saya paksa abah hantar saya ke sekolah. Abah rela hati hantar saya naik motorsikal kapcai dia walaupun saya tahu abah sudah lambat masuk kerja. Sepanjang perjalanan, saya akan membebel kepada abah sebab saya rasa dia bawa motorsikal sangat perlahan menyebabkan saya lagi lambat sampai sekolah.




Abah,

Warkah ini untuk abah. Setiap tahun, pada tarikh ini, zura akan teringat kat abah. Tujuh tahun lepas. Hari sabtu. Zura tengah tidur. Tiba-tiba, zura dapat panggilan dari mama. Tiga perkataan sahaja dari mulut mama. “Abah dah tiada!” Zura ingat zura bermimpi. Kemudian, zura terduduk. Memikirkan samaada berada di alam realiti atau masih bermimpi. Lalu, jatuh air mata di pipi zura. Macam paip yang bocor. Terngiang-ngiang. Abah dah tiada! Zura tak mungkin berjumpa dengan abah lagi selepas ini!


Abah,

Petang itu. Mujur, zura sempat menatap wajah abah sebelum dibawa ke masjid untuk dimandi dan dikafankan. Muka abah pucat. Sejuk.Tapi abah senyum. Abah tak bergerak bila zura goncangkan badan abah. Zura tak henti menangis, abah. Setiap masa. Semasa di liang lahad, semasa talkin di bacakan, semasa menjirus pusara abah, semasa melangkah pergi dari kubur abah.Tangisan itu tidak boleh berhenti. Dan pada malam pertama ketiadaan abah, zura, mama dan shikin tidur sekatil. Kami berpelukan dan menangis. Sepanjang hidup zura, itulah pertama kali zura menangis sampai mata bengkak teruk.

Satu persatu penyesalan muncul dalam kotak fikiran zura. Menyesal kerana jarang telefon abah semasa belajar di USM. Sekarang zura tidak boleh telefon abah dah! Menyesal selalu berkasar dengan abah. Menyesal kerana selalu melawan cakap abah. Menyesal kerana tidak meluangkan banyak masa bersama abah semasa abah masih bernyawa. Zura tidak sangka permintaan abah untuk suapkan nasi semasa di HTAR adalah pertama dan terakhir buat zura.. Andainya zura tahu!


Abah,

Tatkala ini, terlalu banyak cerita yang zura ingin kongsi dengan abah. Abah nak tahu,zura sudah berkahwin. Nama suami zura Mohamed Ridzuan. Abah tidak sempat jumpa dengan dia. Tapi lelaki yang baik, abah. Dia menjaga anak abah ini dengan baik. Abah pasti gembira. Zura pun sudah ada cahaya mata.Seorang anak lelaki. Mohamed Rifqi namanya. Cucu sulung abah! Masa baru lahir, ramai yang kata muka dia sama macam abah. Betul! Zura tak tipu! Zura juga berjaya memperoleh ijazah sarjana dan sudah bekerja di UiTM. Abah mesti bangga dengan zura kan. Zura rindu sangat dengan abah. Wajah abah makin kabur dalam ingatan zura. Andai dapat putar masa, zura ingin mengambil gambar abah banyak-banyak walaupun abah tidak suka bergambar, mengambil gambar kita sekeluarga dan video abah supaya wajah dan kelibat abah boleh dilihat setiap masa!


Abah,

Beberapa hari lagi kami akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Alangkah indah jika abah dapat beraya bersama-sama. Sudah tujuh tahun abah pergi dan Aidil Fitri tidak lagi meriah buat kami. Semoga abah tenang di sana. Hanya doa yang mampu zura kirimkan setiap kali selesai solat. InsyaAllah.


Merinduimu selalu,

Siti Norbaizura @ zura


p/s: kami semua rindu abah. sangat sangat! =(

No comments:

Post a Comment