Friday, December 7, 2012

Ibarat Dejavu




Hari ini.


"Salam kak.. kak, Ariq badan dia panas sangat.. saya dah  bagi ubat.. meragam dari tadi.. dia asyik buang air besar aje..."



SMS yang membuatkan hati saya gundah gulana. Lantas saya terus mendail no dia. Ingin informasi secara terus dari dia. Saya terdengar sayup-sayup suara Ariq menangis.



Gelisah. Hati saya tidak keruan. Badan seram sejuk!



Lantas saya  menemui boss. Mohon pengertian dari beliau dan kebenaran untuk pulang segera.


Alhamdulillah.


Beliau memberi keizinan. Saya bersiap-siap. Perjalanan bakal mengambil masa lebih kurang sejam untuk berjumpa dengan Ariq. Saya memandu tetapi fikiran melayang. 



Ibarat dejavu. Dua bulan lepas. Saya memandu dalam keadaan begini juga. Sewaktu Rifqi sakit dan didiagnosis pneumonia. Saya bergegas pulang dari UiTM ke Senawang.



Setibanya di Senawang Specialist Center, saya mendengar tangisan yang amat saya kenali. Saya menuju bilik rawatan kecemasan. Suami saya sudah berada di sisi Ariq. Lantas saya mengambil tempat dia. Saya pegang tangan Ariq. Usap dengan lembut.



Diagnosis awal : Pharyngitis dan diarrhea.


Terpaksa di masukkan ke wad. Saya reda. Itu yang terbaik untuk Ariq buat masa sekarang. Moga Allah melindungi dia dan mempercepatkan kesembuhannya.


Amin!


p/s: Bonda akan sentiasa di sisimu sayang....





















Monday, November 26, 2012

Ada apa dengan esok?






InsyaAllah esok..




Merupakan perjuangan yang bakal menentukan hala tuju hidup saya akan datang.



Walaupun agak kelam kabut




Akan cuba melakukan yang terbaik!




Kamu tolong doakan saya ya!



 (^_~)v




p/s: dub dab dub dab..... 



Monday, November 19, 2012

Doa..



Insiden 1

Sudah dua tahun saya berada di sini. Tempat mencari rezeki dan ilmu. Selama itulah saya mengenali dia. Pensyarah senior di sini. Kami tidak pernah bertegur sapa. Setiap kali bertembung saya pamerkan senyuman kepadanya. Namun, dia tidak pernah membalas senyuman saya. Sedih. Malah, setiap kali bertembung, dia seakan melarikan pandangan daripada saya. Mula-mula saya memang terasa. Apa salah saya? Tapi saya sentiasa berdoa. Moga Allah bukakan hati dia untuk senyum kepada saya satu hari nanti. 


Alhamdulillah. Hari ini doa saya dimakbul Allah. Akhirnya saya dapat melihat senyumannya yang manis itu. =)



Insiden 2

Di jalan sempit Ampang tinggi ke jalan besar kuala pilah-seremban. Dihadapan saya sebuah motorsikal. Pengunggangnya lelaki yang tidak memakai topi keledar.  Saya mengekorinya di belakang. Pandu perlahan-lahan. Saya terus berdoa. Semoga Allah membuka hatinya untuk memakai topi keledar. Semoga hatinya lembut dan kasihankan anak dan isterinya di rumah jika beliau terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motorsikal. Saya ekorinya perlahan-lahan. Jalan sempit dan agak sibuk. Semasa saya hendak momotongnya, tiba-tiba saya lihat tangannya mencapai topi keledar di dalam raga motorsikalnya dan meletakkan atas kepala. Ajaib!


Alhamdulillah. Saya hanya menjeling dari cermin belakang kereta sambil tersenyum sehingga dia hilang dari pandangan.



Ayuh sahabat semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar saudara kita di Palestin sentiasa mendapat lindungan dari Allah. Amin!



p/s: Doa itu senjata orang Islam....

Thursday, November 1, 2012

1 Nov 2012



Alhamdulillah


Genap dua tahun bertugas di sini. Masih terasa seperti baru berpindah ke sini. Semakin lama semakin sayang dengan tempat ini.


InsyaAllah, akan sedaya upaya mencurahkan ilmu dan bakti selagi nyawa dikandung badan.


UiTM Negeri Sembilan (Kuala Pilah) dihatiku!!


p/s: Dapat boss besar baru hari ni!! (^_~)v

Monday, July 16, 2012

Makan angin part II



Mahu berkongsi pengalaman. Berkenaan makan angin kami minggu lepas. Kira-kira lima hari selepas saya selesai berpantang. (^_^)






Ini merupakan kali kedua lawatan saya ke Langkawi. Tapi, yang pertama buat suami saya. Kali pertama saya berkunjung ke Langkawi pada tahun 2004. Naik feri dari jeti Kuala Perlis. Hanya lawatan sehari. Pergi pagi dan balik petang. 


Kali ini, saya telah menempah kapal terbang dan hotel dari Airasiago. Sebelum bertolak, saya sudah pastikan bekalan ubat-ubatan untuk kedua hero saya seperti ubat demam,selsema,batuk,sakit perut,muntah dan lain lain dibawa sekali. Sangat penting! Sebab penyakit boleh datang bila-bila. Saya juga sudah menempah kereta sewa sebelum bertolak ke Langkawi. Saya hubungi Pak Lang Holidays. Berjaya mendapat harga Myvi auto untuk RM70 sehari. Saya tidak mahu kereta jenis sedan sebab memikirkan kepayahan untuk park kereta nanti. Lagipun, stroller Ariq pun boleh muat dalam Myvi.





Sampai sahaja di Airport Langkawi, saya terkejut sebab kereta Myvi yang kami dapat masih baru lagi. Masih bau kedai!






Saya telah menempah Aseania Resort & Spa di Pantai Tengah/Chenang. Kira-kira 15 minit dari Airport. Semenjak mempunyai anak, saya akan memilih hotel/resort yang ada kemudahan kolam renang. Sebab Rifqi sangat suka mandi kolam renang. Dan tahukah kamu yang Aseania mempunyai kolam renang terpanjang di Malaysia. Sangat teruja!


Sepanjang kami di langkawi, saya sempat melawat makam Mahsuri, Dataran Lang, Jeti dan Pekan kuah. Saya tidak mempunyai niat untuk shopping. Hanya makan angin. Jalan-jalan dengan famili. Lagipun, cuaca agak tidak berapa baik. Hujan sepanjang hari. Juga cabaran membawa dua budak kecil jalan-jalan. Banyak kerenah dan ragam. Namun, sempat juga membeli sedikit coklat untuk dibawa balik. Selain itu, tidak ada. Huhu..







InsyaAllah saya pasti akan datang lagi ke Langkawi. Mungkin bila kedua-dua hero saya besar sedikit. Juga mungkin bila poket saya penuh sedikit. Mahu borong macam macam! Kamu mahu ikut sekali? (^_^)v






p/s: Duty free?? Tak macam duty free pun.........

Monday, July 9, 2012

Makan angin







Esok mahu pergi bercuti. Hanya kami sekeluarga. Termasuk si kecil yang baru habis pantang.







Sangat teruja!








Mudah-mudahan perjalanan kami dipermudahkan.






Amin!



p/s: Puasa ganti? Sempat lagi.... (^_~)v

Monday, June 25, 2012

Selamat Hari Lahir buat Mama..





Semalam hari lahir mama saya. Genap 55 tahun. Alhamdulillah mama saya masih sihat.




Namun,




Saya sedari sesuatu. Wajah mama sudah berubah tahun demi tahun. Disebalik kaca mata itu. Terdapat banyak garis halus yang saya pasti jumlahnya kurang pada tahun tahun sebelum ini.




Semasa kecil saya sering salah anggap pada mama. Saya fikir mama tidak sayang saya. Macam-macam benda saya jadikan modal untuk membuktikan yang mama tidak sayang saya sebagai anaknya. 






Seperti rupa saya. Kedudukan saya antara adik beradik (anak kedua dari tiga).







Justeru itu, saya rapat dengan abah saya.






Namun semenjak insiden kemalangan itu, persepsi saya berubah. Melihat mama yang sanggup menjaga dan menemani saya di wad, menguruskan saya, memandikan saya, memapah saya, membawa saya ke sana sini dan yang paling penting mama adalah satu-satunya insan yang menemani saya sewaktu acara konvokesyen saya pada 2005. Saya mula sedar. Jika mama tidak sayang saya sudah pasti mama sudah membuang saya sedari kecil lagi. Betapa bertuahnya saya ada mama di sisi!


*Tampalan dari internet


Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...

Dia bertanya kepada Tuhan : 
"Para malaikat disini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup disana; saya begitu kecil dan lemah ?" Dan Tuhan menjawab:
"Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan menjaga dan mengasihimu ."

Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini; didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa...Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia." "Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"

"Dan bagaimana bisa saya mengerti di saat orang-orang berbicara kepada saya jika saya tidak mengerti bahasa mereka ?" "Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar; dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara berbicara."

"Dan apa yang akan saya lakukan saat saya ingin berbicara kepadaMu ?" "Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa"

"Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya ? "Malaikatmu akan melindungimu; walaupun hal tersebut mungkin akan mengancam jiwanya"

"Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak melihatMu lagi""Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku, dan akan mengajarkan bagaimana agar kamu bisa kembali kepadaKu; walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu" 

Di saat itu, Syurga begitu tenang dan heningnya sehingga suara dari Bumi dapat terdengar, dan sang bayi bertanya perlahan "Tuhan, jika saya harus pergi sekarang, bisakah Kamu memberitahuku nama malaikat tersebut ?" 
"Kamu akan memanggil malaikatmu itu: "IBU "

Buat mama @ malaikat saya :


Zura sayang mama

Kini. selalu. selamanya......






p/s: telah menjadi malaikat buat dua orang putera... (^_~)v


Thursday, June 14, 2012

Permata hati kedua





Assalammualaikum!








Maaf lambat mengemaskini blog. Agak sibuk. Juga penat. Berterusan!








Mahu hebohkan berita gembira. 








Ya! Adik telah selamat dilahirkan pada 20 Mei yang lalu bersamaan 28 Jamadilakhir 1433H.








Kali ini saya berjaya bersalin normal. Satu kejayaan besar yang tidak pernah saya duga boleh tercapai!.








Perkenalkan.....








Permata hati kedua saya & suami...
















Mohamed Ariq bin Mohamed Ridzuan.. 




Bonda sayang kamu. Sangat-sangat!



p/s: Sindrom cemburu Rifqi makin berleluasa.. (*_*)v

Wednesday, May 16, 2012

16 Mei & Selamat Hari Guru..



Ketika darjah satu, apabila cikgu saya bertanyakan tentang cita-cita saya, saya akan memberitahu saya ingin menjadi seorang pegawai kastam seperti abah saya. Ketika darjah dua, saya beritahu cikgu saya ingin menjadi peramugari. Ketika darjah tiga, saya katakana saya ingin menjadi peguam. Dan, cita-cita ingin menjadi peguam itu saya pegang sampai darjah enam.



Meniti zaman sekolah menengah, saya tidak tahu apa cita-cita saya. Saya sangat kabur tentang cita-cita. Apabila cikgu atau kawan-kawan bertanya kepada saya, saya hanya menjawab cita-cita saya ialah apa yang saya jadi pada masa hadapan itulah cita-cita saya. Setelah tamat SPM dengan keputusan yang cemerlang, saya masih tidak tahu apa cita-cita saya. Saya mendapat tawaran ke pusat matrikulasi dan saya hanya bersetuju. Saya tidak pernah membuat ‘homework’ tentang kursus yang saya boleh ambil peringkat diploma, pusat asasi mahupun persediaan ke luar Negara. Setahun di matrikulasi, saya mula sedar subjek yang saya minat. Biologi! Semasa saya mengisi borang UPU, saya memilih semua kursus sains biologi yang ditawarkan oleh IPTA di Malaysia. Dan, saya menanamkan cita-cita untuk menjadi seorang guru/pensyarah biologi.



Setelah berjaya menamatkan pegajian di USM dalam bidang sains mikrobiologi, saya sempat menjadi guru ganti (cikgu cuti bersalin) di STAR, Klang selama dua bulan sambil saya mencari-cari kerja yang sesuai dengan bidang pengajian saya. Terus terang, saya rasa sedikit menyesal memilih cita-cita untuk menjadi seorang guru. Sangka saya, tugas guru sangat mudah. Namun, pengalaman selama dua bulan itu sudah cukup membuka mata saya bahawa profession guru itu sangat mencabar. Terutama bagi seorang wanita yang bertubuh kecil dan bersuara comel macam saya. Ahaks!



Sementara memegang status penanam anggur di rumah, saya ada mencuba memohon beberapa jawatan kosong di Jobstreet. Namun, semuanya hampa. Mereka perlukan pengalaman! Baru saya sedar susahnya hendak mencari pekerjaan pada masa itu. Kemudian, saya mencuba nasib memohon biasiswa tenaga pengajar muda dari UiTM. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat biasiswa UiTM untuk sambung belajar peringkat Sarjana dan terikat kontrak menjadi pensyarah di UiTM.



Bermulalah tugas saya sebagai seorang pensyarah pada tahun 2009 selepas saya berjaya menghabiskan penyelidikan Sarjana saya. Alhamdulillah, tahun ini genap tiga tahun saya mencurahkan ilmu di UiTM Shah Alam dan Kuala Pilah. Saya menganggap diri saya sebagai seorang guru juga walaupun ada orang berkata status pensyarah tidak sama dengan gutu. Dan, saya tidak menyesal memilih profession ini dan berharap dapat menolong anak bangsa saya sendiri sehingga mereka berjaya dan boleh berdiri dengan kaki sendiri dengan megahnya! (^_~)v



p/s: Kontraksi minor sudah datang!! HuHu…

Wednesday, April 25, 2012

Biar lambat macam kura-kura..



Kalau diperhatikan disekeliling saya..



Ada yang berlari pecut macam harimau bintang..



Ada juga yang berlari-lari anak seperti si arnab comel..



Tapi saya, 



Berjalan  terkedek-kedek seperti kura-kura..




Oleh itu,



Hampir tiga tahun baru saya berjaya mencapai impian saya.



Alhamdulillah akhirnya...




Biarpun lambat seperti kura-kura tapi kura-kura ini berjalan di landasan yang lurus.. Tidak perlu mengikut 'highway' untuk sampai... (^_~)v








p/s: rezeki adik agaknya! =)

Sunday, April 1, 2012

Angka bertambah lagi..





Hari ini. 






Usia saya bertambah ke satu angka lagi..








Tahun terakhir berada di alam lewat 20-an..








Hari ini seperti hari-hari biasa. Cuma dapat kejutan dari suami dan anak tercinta. Sebiji kek dan kad lahir tepat pukul 12 am. Tiada yang lebih indah dari itu. Meraikan hari lahir dengan orang tersayang. Juga tidak perlu hadiah selain doa-doa yang baik baik sahaja..










Tetapi,




Saya juga mendapat kejutan awal kira-kira dua hari lepas.






Ah, sweetnya anak-anak murid saya ni..

Dan, di dalamnya..



Sepotong kek coklat kegemaran..



Tidak sampai lima minit kemudian,

Burrpp.. Alhamdulillah!



p/s: terima kasih di atas ingatan, ucapan dan doa dari kamu semua.. =)













Monday, March 12, 2012

Adik di 28-minggu



Teruja!


Hari ini saya akan menjalankan  pemeriksaan 4D di Klinik Rekha, Seremban. Teringat pengalaman lalu semasa mengandungkan Rifqi. Saya sanggup ke Gombak Medical Center untuk menjalani pemeriksaan 4D sewaktu Rifqi 31-minggu.


Mujur hari ini suami saya cuti. Boleh dia temankan saya ke sini. Dan saya tidak perlu membuat temujanji. Hanya walk-in. 




Alhamdulillah adik sihat. Dr. Rekha terangkan secara terperinci tentang fizikalnya. Serba serbi normal. Berat pun sudah mencecah 1.4 kg. Wah! Patutlah saya rasa berat semacam. =)






Tinggal lagi 12-minggu untuk adik melihat dunia. Sungguh tidak sabar..






Teruja lagi sekali!




Adik tengah tidur. Tidak mahu menunjukkan wajah sepenuhnya..


p/s: perempuan atau lelaki?? =)

Thursday, March 1, 2012

Misi berjaya






Alhamdulillah




Berjaya juga menyelesaikan kuliah terakhir bagi semester ini pada hari ini. Walaupun agak kelam kabut namun semuanya berjaya disampaikan kepada pelajar-pelajar saya.




Saya akui semester ini agak pendek. Disebabkan cuti umum yang bertimpa-timpa. Tambahan masalah teknikal di dewan kuliah. Sedikit sebanyak mencuri masa kuliah saya. 




Namun,




Saya harap ilmu yang saya sampaikan dapat dijadikan manfaat buat pelajar-pelajar saya. Bukan semata-mata untuk menghadapi peperiksaan. 




Amin!




p/s: bakteria, fungi, mesofil, thermofil, etc etc... (^_~)v

Tuesday, February 28, 2012

Ulangtahun perkahwinan yang ke-3





Alhamdulillah..




Sudah menempuh tiga tahun alam rumah tangga. Masih banyak lagi yang perlu di tempuhi bersama-sama.




Pahit manis...




Masam masin....




Busuk wangi....




Ditambah pula, adik yang bakal melihat dunia bulan Mei ini.. InsyaAllah..




Mudah-mudahan jodoh kami berpanjangan..




Amin!




p/s: Makin hari makin sayang....

Friday, February 10, 2012

Saya yang alpa..


Sungguh..




Saya ibarat seorang yang baru tersedar dari rawatan hipnosis. Apabila menerima teguran daripada orang yang sangat saya sayang..






Selama ini saya fikir tindakan saya itu betul. Tidak mengundang apa-apa pandangan negatif. Malah, tiada niat saya untuk menyinggung perasaannya. Saya berkonfrantasi dengan perasaan sendiri.




Saya renung kembali. Kata-kata dari seorang ustazah.




"Tangunggjawab isteri adalah menjaga makan minum, pakaian, tempat tidur dan maruah suaminya"






Perkara terakhir yang disebut menyebabkan saya mengalah. Benar. Saya perlu menjaga maruah dia.






Alhamdulillah..






Saya patut bersyukur pada makcik itu. Atas pertanyaannya. Menyebabkan saya tersedar daripada terus membuat kesilapan.






p/s: Manusia itu sangat lemah!!



Friday, February 3, 2012

InsyaAllah..





Situasi pertama..




Madam, hari jumaat ni ada kuliah tak?


Ada.. macam biasa..


Ok, madam..




Situasi kedua


Jangan lupa kuliah hari jumaat ini. Jangan ponteng ya!


Baik madam..






Dan,




Hari ini, saya sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Bersemangat untuk meneruskan kuliah mikrobiologi makanan.




Akan tetapi, kereta saya tidak mahu hidup pula. Sekali lagi, bateri kereta saya meragam. Terus saya menelefon syarikat insurans kereta saya. Mahu bantuan segera. 






Terpaksa juga saya membatalkan kuliah saya hari ini!






Dalam diam saya merenung dan berfikir dengan perkara yang berlaku pagi ini..






Saya terlupa.. 






Untuk mengucapkan InsyaAllah sebelum ini terhadap janji-janji saya kepada pelajar saya. Ternyata saya hanya mampu merancang tetapi Allah yang lebih mengetahui. (*_*)






P/s: InsyaAllah kuliah ada!

Wednesday, February 1, 2012

Dia sudah 2 tahun 2 bulan..







Saya lipat, dia serakkan semua..








Saya simpan, dia keluarkan semula...








Saya susun, dia sepahkan balik...








Saya masak, dia sibuk main barang² dapur...










Itulah Mohamed Rifqi. Sudah berusia 2 tahun 2 bulan.  Semakin bijak. Walaupun mulut masih berat untuk berkata-kata. Namun, tangan dia  tak betah untuk diam. Mewarisi perangai ayahandanya  agaknya. Diam-diam ubi berisi. Kurang menunjukkan minat terhadap cerita-cerita kartun. Dulu-dulu saya suka membiarkan dia menonton  BabyTV. Tetapi, semenjak BabyTV tidak lagi disiarkan percuma, saya mengambil keputusan untuk tidak melanggan sebaliknya saya tarik perhatian dia ke saluran 610 TVIQ. Kadang-kadang saya tukar ke saluran 611 Ceria. Tidak menjadi masalah buat dia sebab dia tidak menunjukkan minat untuk menonton kartun. Kecuali rancangan Clever edisi Malaysia dan Tom-tom Bak. Peminat setia Paknil katakan! (^_^)v








Alhamdulillah, saya berjaya menyusukan Rifqi selama 2 tahun. Niat di hati untuk teruskan sahaja sebab Rifqi masih lagi mahu melekap dengan bonda dia. Namun, semenjak saya mengandung kali kedua, susu semakin kurang dan terus terhenti. Tak mengapalah. Rezeki untuk adik pula. 








Model tudung muslimah.. ahaks.. 



P/s: Masa untuk toilet train!!  (^_~)v






Sunday, January 1, 2012

Selamat tahun baru!





Selamat menyambut tahun baru 2012 buat kamu semua..






Terus terang, tahun lalu merupakan tahun yang agak cemerlang buat saya. Hampir kesemua azam saya tercapai. *senyum*








Semoga tahun ini lebih bermakna buat kita semua. Saya tidak mempunyai azam yang banyak tahun ini. Cuma mahu menjadi ibu yang lebih baik buat Rifqi dan adik, isteri yang lebih baik buat suami dan anak yang sentiasa berbudi pada ibunya. Dari segi kerjaya, saya berharap dapat memperbaiki mutu pengajaran saya sewaktu kuliah. InsyaAllah.







P/s: Apa azam kamu pula ya?