Wednesday, May 16, 2012

16 Mei & Selamat Hari Guru..



Ketika darjah satu, apabila cikgu saya bertanyakan tentang cita-cita saya, saya akan memberitahu saya ingin menjadi seorang pegawai kastam seperti abah saya. Ketika darjah dua, saya beritahu cikgu saya ingin menjadi peramugari. Ketika darjah tiga, saya katakana saya ingin menjadi peguam. Dan, cita-cita ingin menjadi peguam itu saya pegang sampai darjah enam.



Meniti zaman sekolah menengah, saya tidak tahu apa cita-cita saya. Saya sangat kabur tentang cita-cita. Apabila cikgu atau kawan-kawan bertanya kepada saya, saya hanya menjawab cita-cita saya ialah apa yang saya jadi pada masa hadapan itulah cita-cita saya. Setelah tamat SPM dengan keputusan yang cemerlang, saya masih tidak tahu apa cita-cita saya. Saya mendapat tawaran ke pusat matrikulasi dan saya hanya bersetuju. Saya tidak pernah membuat ‘homework’ tentang kursus yang saya boleh ambil peringkat diploma, pusat asasi mahupun persediaan ke luar Negara. Setahun di matrikulasi, saya mula sedar subjek yang saya minat. Biologi! Semasa saya mengisi borang UPU, saya memilih semua kursus sains biologi yang ditawarkan oleh IPTA di Malaysia. Dan, saya menanamkan cita-cita untuk menjadi seorang guru/pensyarah biologi.



Setelah berjaya menamatkan pegajian di USM dalam bidang sains mikrobiologi, saya sempat menjadi guru ganti (cikgu cuti bersalin) di STAR, Klang selama dua bulan sambil saya mencari-cari kerja yang sesuai dengan bidang pengajian saya. Terus terang, saya rasa sedikit menyesal memilih cita-cita untuk menjadi seorang guru. Sangka saya, tugas guru sangat mudah. Namun, pengalaman selama dua bulan itu sudah cukup membuka mata saya bahawa profession guru itu sangat mencabar. Terutama bagi seorang wanita yang bertubuh kecil dan bersuara comel macam saya. Ahaks!



Sementara memegang status penanam anggur di rumah, saya ada mencuba memohon beberapa jawatan kosong di Jobstreet. Namun, semuanya hampa. Mereka perlukan pengalaman! Baru saya sedar susahnya hendak mencari pekerjaan pada masa itu. Kemudian, saya mencuba nasib memohon biasiswa tenaga pengajar muda dari UiTM. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat biasiswa UiTM untuk sambung belajar peringkat Sarjana dan terikat kontrak menjadi pensyarah di UiTM.



Bermulalah tugas saya sebagai seorang pensyarah pada tahun 2009 selepas saya berjaya menghabiskan penyelidikan Sarjana saya. Alhamdulillah, tahun ini genap tiga tahun saya mencurahkan ilmu di UiTM Shah Alam dan Kuala Pilah. Saya menganggap diri saya sebagai seorang guru juga walaupun ada orang berkata status pensyarah tidak sama dengan gutu. Dan, saya tidak menyesal memilih profession ini dan berharap dapat menolong anak bangsa saya sendiri sehingga mereka berjaya dan boleh berdiri dengan kaki sendiri dengan megahnya! (^_~)v



p/s: Kontraksi minor sudah datang!! HuHu…

No comments:

Post a Comment