Sunday, September 8, 2013

Catatan lambaian kaabah- Bahagian 4

Hari kelima---


Semasa sa'ie. Hati berkata. Untungnya saya. Melakukan sa'ie pada masa sekarang. Berlantai dan berkipas. Sejuk!


Berbanding keadaan sewaktu Siti Hajar berlari di antara Safa dan Marwah untuk mencari air bagi menghilangkan dahaga nabi Ismail..


Mungkin--
Berpanas terik..
Berkaki ayam..
Bermandi peluh..


Selepas selesai solat Zohor. Saya dapati kasut saya tiada dalam uncang kasut. Saya belek rak kasut. Atas. Bawah. Kanan. Kiri.


Tiada!


Lalu saya berjalan pulang ke hotel yang jaraknya dlaam 400m. Seperti jarak Safa ke Marwah. Panasnya hanya Allah tahu. Kaki saya rasa terbakar walaupun saya berstokin tebal.



Mungkin----
Inilah yang dirasai oleh Siti Hajar dahulu
Tujuh kali berulang alik untuk mencari air
Demi seorang anak..


MasyaAllah! Tabarakallah!


Di sini--
Setiap perkataan
Setiap lintasan hati
Adalah DOA..


Sekarang saya ada peneman baru. Hadiah untuk diri sendiri. Tanda ingatan dari Mekah....



Bersambung..

Saturday, September 7, 2013

Catatan lambaian kaabah- Bahagian 3

Hari ketiga--


Rombongan kami melawat Jabal Rahmah seawal pagi untuk menziarah. Sampainya di sana, saya terjumpa lelaki yang wajahnya seakan raan semaktab saya dahulu. Memang benar beliau adalah rakan semaktab saya dan suami dahulu. 


Ajaib!


Kerana kami tidak pernah berjumpa selepas SPM Tahun 2000. Lalu saya teringat tentang cetusan hati saya  tentang cerita Adam dan Hawa berjumpa di rak kasut pintu masjidil haram setelah bertahun-tahun terpisah. Dalam kalangan jutaan manusia.


Allah berbicara lagi dengan saya. Bahawa DIA maha berkuasa dan mampu membuat apa-apa yang tidak logik di akal manusia. 


Rasa sangat gerun ketika itu.


Tengah hari--


Lewat pulang dari masjidilharam. Sarapan sudah habis. Tinggal jemput-jemput sahaja. Alhamdulillah dapat alas perut.


Usai bermiqat di Taneem, kami ke masjidilharam semula. Untuk solat Zohor dengan berihram.


Dalam perjalanan. Beritahu suami mahu makan roti nanti. Roti nan. Roti pita. Tak kisah. Selepas selesai umrah jika sempat. Ataupun selepas Asar.


Selepas solat Zohor, seorang wanita tua di saf hadapan saya memandang ke belakang sambil tersenyum.


Mungkin dari Iran. atau Bosnia. atau Kazakhstan. Saya tidak pasti.


Tiba-tiba beliau hulurkan sekeping roti kepada saya. di tambah dengan keju masam bercampur jeruk buah zaitun.


MasyaAllah! Tabarakallah!


Di sini---
Setiap perkataan
Setiap lintasan hati
adalah DOA..

Mekah..
kota keajaiban. bukan Genting! 



Bersambung...

Friday, September 6, 2013

Catatan lambaian kaabah- Bahagian 2

Hari kedua---


Kami pergi ke masjidilharam untuk solat subuh. Terpisah di pintu 1. Kami berjanji untuk jumpa di maqam ibrahim selepas itu.


Selesai solat, saya ke maqam ibrahim. Jumpa. Sama sama tawaf sunat. Kemudian, terpisah.


Saya terus ke pintu 1. Tempat perjumpaan kami. Uncang kasut masih ada. Kasut dia masih didalam. Saya duduk bersila berdekatan rak kasut. Buka yassin. Baca.


15 minit berlalu..


Tiada bayang-bayang dia muncul di depan pintu. Di kalangan lautan manusia yang lalu lalang. Sabar!


30 minit berlalu..


Hati mula panas. Ikut hati mahu pulang sahaja. Tinggalkan kasut dia di situ. Tiba-tiba teringat doa saya sewaktu di depan kaabah tadi. Saya duduk kembali. Buka yassin. Baca.


Sejam berlalu..


Saya dihalau oleh pencuci. Dia mahu bersihkan lantai. Saya bangun tunggu di halaman luar. Kemudian, saya duduk kembali. Bersila. Buka yassin. Baca.


Sejam 15 minit berlalu..


Baru saya nampak dia menghampiri. Alhamdulillah penantian berakhir. Hebat ujian Allah ini. Sama ada saya mampu menjadi apa yang saya doakan..


Doa saya--


"Ya Allah, jadikanlah saya seorang isteri yang TAAT dan SETIA pada suami"


Di sini--
Setiap perkataan
Setiap lintasan hati
Adalah DOA---


Kami beriringan jalan pulang ke hotel. Di celah-celah lautan manusia. Saya peluk lengan dia. Perasaan itu. Getaran itu. Sama seperti baru-baru kahwin.


Bahagia!



Bersambung...

Thursday, September 5, 2013

Catatan lambaian kaabah- Bahagian 1


Mekah.


Terletaknya Masjidilharam. Di dalamnya terdapat kaabah. Penunjuk arah kiblat buat semua umat islam di dunia.


Saya tiba di Tanah haram kira-kira jam 10 malam. Masjidil haram kelihatan sangat jelas walaupun di malam hari. Pancaran lampu yang sangat indah. Biarpun saya hanya melihat dari dalam bas yang bergerak.


Rombongan saya tiba di hotel yang jaraknya kira-kira 400m dari Masjidilharam. Kami memulakan umrah yang pertama pada malam itu juga kerana telah bermiqat sewaktu dalam penerbangan. 


Sewaktu sampai di pintu masjidilharam, perasaan syukur yang teramat sangat menjalar seluruh badan kerana berpeluang menjejakkan kaki di sini. Lantas perlahan-lahan saya mengekori rombongan saya untuk menunaikan umrah kami.


Alhamdulillah.


Tidaklah susah seperti yang saya jangkakan. Bahkan sangat menyeronokkan. Selesai bertahalul, saya dan suami pulang ke hotel untuk berehat.


Pagi-- 


Bumi mekah disirami dengan hujan. seolah-olah meraikan kedatangan kami ke sini. Masha Allah. Terlalu hebat kurniaan-Mu kepada kami. 


Petang--


Dalam keterujaan menyaksikan pemandangan di sekeliling Masjidilharam, terdetik di hati saya tentang cerita Adam dan Hawa di mana Aaron Aziz berjumpa semula dengan Nadia Nisa di hadapan rak kasut di pintu Masjidilharam. 



Masakan dalam lautan manusia begini mereka dapat berjumpa. Hanya cerita fantasi dalam sebuah novel.


Selesai solat Asar, saya bergegas untuk keluar. Tiba-tiba saya terlihat seorang lelaki berjubah yang melintas di hadapan saya. Wajahnya seakan rakan semaktab saya dahulu. 


Kata hati. Mungkin pelanduk dua serupa.


Malam---


Saya bersolat di ruang bawah Masjidilharam. Selesai solat maghrib, saya berjalan menuju ke tangki air zam-zam. Mencari tangki air zam-zam yang tidak sejuk.


Bismillah..



Satu cawan. Lega. Satu cawan lagi. Alhamdulillah..



Tiba-tiba kepala saya diketuk. Saya hanya biarkan. Masih kepala saya diketuk. Saya curiga. Tangki air zam-zam di kiri dan kanan masih kosong.



Kanak-kanak nakal mungkin?



Saya mendongak. Seorang wanita arab menunjukkan isyarat air untuk bayinya. Lantas saya hulurkan secawan air zam-zam yang tidak sejuk kepadanya untuk diberikan kepada bayinya.


Saya kembali ke saf terdahulu. Tiba-tiba datang orang arab menghulurkan cawan dan menuangkan air teh kepada saya. Dan hanya saf saya yang beliau berikan air teh tersebut. Walhal beratus-ratus saf lagi disekeliling saya.


Alhamdulillah.



Allah balas dengan segera walaupun niat saya ikhlas menolong wanita arab dan bayinya sebelum itu.


MasyaAllah! Tabarakallah!


Di sini---
Setiap perkataan
Setiap lintasan hati
adalah DOA..
Bersambung...


Wednesday, September 4, 2013

Lambaian itu..


Hari itu hari Ahad. 


Semua orang bersiap-siap untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Demi melihat perubahan negara. Untuk 5 tahun lagi. 


Termasuklah saya. Tapi saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu buat pertama kalinya. Saya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.


Bakal menunaikan sebahagian daripada rukun islam. Walaupun belum sempurna rukun yang kelima itu. 



Saya dan suami dihantar ke KLIA  oleh mama,abang dan kakak ipar saya. Cukup di pintu masuk balai berlepas. Mereka segera pulang. Tinggallah kami menyorong bagasi ke kaunter check-in. Hanya kami berdua. Tiada saudara mara yang mengiringi.



Saya capai handphone. Cuba menelefon anak-anak di kampung sekali. Tiada sebarang dering. Semenjak semalam. Tiada dering.



Hampa!



Sewaktu berada dalam ruangan berlepas, saya cuba lagi beberapa kali menelefon anak-anak di kampung. Masih tiada sebarang dering. Cuba tenangkan hati. Saya buku panduan haji dan umrah.



Satu ayat dalam buku itu membuatkan saya  sangat-sangat terkesima.



"Perjalanan ke rumah Allah ini menuntut pengorbanan yang besar kerana mungkin kita tidak akan pulang semula ke sisi keluarga tercinta..."


Sekali lagi saya cuba menelefon anak-anak di kampung. Masih tiada dering.


Lalu air mata jatuh berderai..


Sedih kerana tidak dapat mendengar suara anak-anak sebelum memulakan perjalanan menyahut lambaian itu. Saya akur. Ini baru permulaan ujian daripada Allah kepada saya.


Dalam hati


Andai saya tidak kembali lagi.... (T_T)



Bersambung..



Monday, September 2, 2013

Buat pertama kalinya...


Buat pertama kalinya--


Saya  meninggalkan anak-anak di kampung. Bukan mudah untuk membuat keputusan sedemikian.


Sungguh berat!


Lebih-lebih lagi si Ariq masih menyusu badan. Tapi tiada orang lain yang saya percaya dapat menjaga mereka selain mak mertua saya. Beliau berpengalaman mengasuh budak sebelum ini. 


Beliau--
Paling cermat.. 
Paling teliti..

Sewaktu beransur dari rumah mak dan abah di kampung, saya pastikan Rifqi dan Ariq sudah tidur lena. Ariq juga saya susukan sehingga puas. Lantas, kami melangkah ke kereta dan berlalu pergi..


Buat pertama kalinya--

Saya dan suami tidak bercakap sepanjang perjalanan dari Paloh ke Senawang. Masing-masing melayan perasaan. Hanya radio yang berbunyi. Menutup sepi antara kami.


Suami dapat panggilan daripada abah. Rifqi menangis katanya. Saya pandang sisi cermin. Air mata berlinangan. Sedikit demi sedikit. Lama kelamaan berjujuran.


Buat pertama kalinya--


Tempoh dua minggu yang bakal dilalui rasa menyeksakan. Akan tetapi demi menyahut lambaian itu, lambaian yang terbayang-bayang di mata, terbawa-bawa dalam mimpi..


Pengorbanan ini harus dilakukan!



Bersambung...



.